Pages

Tuesday, November 16, 2010

salam aidiladha

Tajuk: Pelajaran dari ibadah korban

Saudara-saudara kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Kita bersyukur ke hadirat Allah kerana dapat berhimpun di pagi yang mulia ini bagi menyempurnakan satu ibadah bersempena Aidiladha. Sambutan Aidiladha, seperti yang kita maklumi, mempunyai hubungan dengan ibadah haji. Ibadah ini pula mempunyai banyak pengertian suci terutama dalam jalinan hubungan di antara Allah, sebagai Khalik atau Pencipta, dan manusia sebagai makhluk atau ciptaanNya.

Pada pagi mulia begini, berlangsung secara serentak dua perhimpunan hebat yang besar maknanya. Pertama, perhimpunan di Mina di kalangan para jemaah yang menunaikan ibadah haji, sejurus selepas mereka selesai berwukuf di Arafah. Kedua, perhimpunan untuk mengerjakan solat Aidiladha di merata tempat-tempat lain, bagi orang-orang seperti kita yang tidak berkesempatan menunaikan ibadah haji.

Perhimpunan di Mina itu seumpama satu muktamar antarabangsa yang besar, disertai oleh manusia yang datang dari segala pelosok dunia. Mereka berlainan warna kulit dan rupa, berbeza darjat dan keturunan, serta tidak sama latarbelakang sosial dan ekonomi. Bagaimanapun, mereka datang dengan satu tujuan: beribadah kepada Allah dengan membesar dan mengagungkanNya. Dengan berihram yang melambangkan keseragaman dan kesamaan, mereka membenamkan segala sifat takbur dan taksub diri masing-masing demi menjadi umat yang satu

Di sinilah, semangat kesamaan dan persaudaraan sesama manusia ditunjuk dan dihayati, menghasilkan satu perpaduan yang paling hebat.

Di tempat-tempat lain di merata dunia, termasuk di tempat kita berhimpun ini, semangat kesatuan dan perpaduan turut menjadi tema yang disemarakkan. Ia juga dapat diibaratkan sebagai satu muktamar, meskipun dalam saiz yang lebih kecil, kerana kehadiran muslimin-muslimat dari pelbagai golongan dan latarbelakang. Baik tua atau muda, lelaki atau wanita, ketua atau pekerja, pemimpin atau rakyat biasa, kita semua menghadirkan diri sebagai jemaah yang satu. Kita sama-sama mengumandangkan takbir dan tahmid. Kita sama-sama membenamkan sifat takbur dan taksub diri, lantas melaungkan ikrar membesar dan mengagungkan Allah.

Kemudian daripada itu, sebahagian daripada kita, baik yang sedang menyempurnakan ibadah haji, mahupun muslimin-muslimat seperti kita yang selesai melaksanakan solat Aidiladha akan pula melangsungkan ibadah korban. Kita menyembelih binatang ternakan, lembu atau kambing, yang dagingnya dibahagi-bahagikan kepada sanak saudara, jiran tetangga dan fakir miskin.

Ibadah korban ini pula, sebagai sebahagian daripada syiar bersempena ibadah haji dan Aidiladha, turut membantu menyuburkan amalan menjaga kebajikan sesama umat. Amalan ini mengukuhkan lagi tujuan membentuk kesatuan dan perpaduan di antara manusia atas dasar keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

Allahu Akbar (3X) Walillah-ilhamd

Kita bersyukur kerana dapat terus menghidupkan semua ibadah ini. Tujuan menghidupkannya tentu didorong rasa yakin bahawa terdapat pengertian-pengertian suci yang mesti dihidupkan bersempena ibadah tersebut. Pengertian tersebut pasti dapat menjadi panduan kepada kita bagi membina kekuatan-kekuatan yang perlu bagi mencapai hidup bahagia dan sejahtera.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Jika diteliti, terdapat sekurang-kurangnya tiga kekuatan yang dimaksudkan itu.

Pertama, perlunya dibangunkan sifat-sifat kemanusiaan yang unggul dan luhur. Manusia yang lemah jiwa, rendah semangat serta bejat akhlak tidak mungkin menjadi orang-orang yang kuat berjuang, apalagi untk tujuan membawa kebaikan kepada orang lain.

Kedua, perlunya ada jalinan ukhuwah atau rasa persaudaraan yang kukuh berdasarkan taqwa. Dalam perjuangan, perlu barisan yang kukuh. Tanpa ukhuwah, berlaku perpecahan, lantas membawa kelemahan.

Ketiga, terdapat kesediaan berjihad dan membuat pengorbanan dalam mencapai kejayaan dan hidup sejahtera. Tiada kejayaan tanpa usaha bersungguh-sungguh dan tanpa pengorbanan.

Berdasarkan pengertian di sebalik ibadah haji dan sambutan Aidiladha ini, terdapat tiga faktor utama yang telah, dan boleh, membantu menghasilkan semua kekuatan yang dimaksudkan.

Pertama, manusia sanggup tunduk sepenuhnya kepada prinsip menerima dan mengagungkan Allah sebagai Tuhan Yang Esa. Inilah kekuatan iman.

Kedua, manusia sedia menerima prinsip bahawa di sebalik kelainan-kelainan lahiriah, mereka sebenarnya sama di sisi Allah. Jadi, manusia mesti menjalin hubungan berbaik-baik sesama mereka atas dasar taqwa kepada Allah. Inilah kekuatan persatuan atau persaudaraan.

Ketiga, manusia reda berjihad dan membuat pengorbanan terhadap kepentingan-kepentingan bersifat sementara bagi mencapai kejayaan dan kesejahteraan yang lebih abadi. Inilah kekuatan semangat berjuang.

Para jemaah yang dihormati,

Faktor pertama menuntut pembinaan jiwa tauhid. Faktor ini menerangkan bahawa kekuatan manusia hanya tercapai apabila mereka menerima hanya Allah sebagai Tuhan Yang Esa. Ini bermakna, hanya Allah yang dipuja dan dipatuhi dan yang keranaNya manusia sanggup membuat pengorbanan demi mencapai redaNya.

Ia juga bermakna manusia menolak untuk bertuhankan diri sendiri, bertuhankan kepada kuasa-kuasa lain, bertuhankan kepada darah dan keturunan, bertuhankan kepada lambang-lambang kebendaan, bertuhankan kepada puak dan bangsa, malah bertuhankan kepada sebarang fahaman yang

lazimnya bersifat nisbi dan tidak kekal.

Hakikat menunjukkan bahawa kesalahan memilih tuhan inilah yang menjadi punca berlakunya kemungkaran yang mengakibatkan kerosakan manusia.

Contohnya, manusia yang bertuhankan dirinya akan bertindak memenuhi nafsunya yang serakah. Mereka yang serakah sering bertindak melampau batas menzalimi orang lain.

Manusia yang bertuhankan lambang-lambang kebendaan pula sebenarnya bertindak di luar akal fikirannya. Di mana rasionalnya kita apabila bertuhankan rekaan sendiri? Kecenderungan melakukan tindakan-tindakan tidak rasional sudah pasti membahayakan kehidupan sendiri dan kehidupan orang lain.

Firaun merupakan contoh manusia yang mempertuhankan diri sendiri. Di sebalik kekuatan bala tentera dan kemewahan harta bendanya, Firaun menjadi lemah berhadapan dengan balasan Allah. Akhirnya dia tenggelam bersama bala tenteranya di Laut Merah.

Kaum Tsamud, di zaman Nabi Salih, bongkak dengan kehidupan kebendaan dan leka bermewah-mewah. Mereka menghabiskan masa membina bangunan-bangunan dan gedung-gedung tinggi dan kukuh semata-mata sebagai lambang kemewahan dan kemegahan. Kerana lekanya, kaum Tsamud lupa mengingat Allah. Lebih buruk lagi mereka mempersenda hukum Allah, dan memperolok Nabi Salih. Akibatnya, di sebalik kekuatan semua bangunan pencakar langit mereka, kaum Tsamud yang ingkar itu dibinasakan.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-'Araf, ayat 78:

"Kerana titu mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka."

Allahu Akbar (3X) Walillah-ilhamd.

Faktor kedua menegaskan bahawa kesatuan dan kekuatan persaudaraan hanya terbina menerusi jalinan yang diikat dasar taqwa. Inilah perpaduan tulen.

Faktor ini boleh disaksikan menerusi ibadah haji itu sendiri. Dalam perhimpunan jutaan orang itu, hak dan tanggungjawab manusia sama belaka. Walau datang daripada pelbagai budaya dan adat resam, masing-masing mematuhi wajib dan rukun yang sama. Tidak ada kelebihan antara raja di atas rakyat; di antara yang berkulit cerah ke atas yang berkulit gelap.

Islam sendiri menggariskan prinsip menjalin hubungan atas dasar taqwa.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hujurat ayat 13:

"Yang termulia di antara kamu pada pandangan Allah ialah dia yang paling bertaqwa."

Prinsip ini telah dihidupkan Rasulullah s.a.w dalam membina perpaduan generasi awal Islam hingga terbentuk satu kekuatan unggul di kalangan mereka. Inilah prinsip yang mengangkat Zaid bin Tsabit, menjadi panglima tentera yang didalamnya terdapat golongan bangsawan Arab sebagai soldadu biasa. Salman, orang Farsi, diistiharkan Rasulullah sebagai kerabatnya, demi menghapuskan prejudis kaum dan bangsa. Bilal, bekas hamba yang berkulit hitam tebal, terangkat darjatnya menjadi sahabat dan orang kepercayaan Nabi s.a.w.

Perpaduan berdasarkan taqwa dapat memantapkan hubungan antara manusia. Dasar ini mampu mengikis prasangka serta rasa cemburu dan khuatir akan kehilangan kedudukan dan pengaruh. Ini berlaku kerana semua pihak yang bertaqwa sedar bahawa masing-masing ada peranan. Lantas, masing-masing dapat melihat hubungan di antara mereka sebagai rakan perjuangan yang akan bertindak untuk saling kukuh-mengukuhkan.

Faktor ketiga ialah kekuatan semangat perjuangan. Kekuatan ini mesti dibina dengan mewujudkan sifat mahu berjihad dan sedia berkorban.

Biasanya, untuk mencapai kejayaan yang lebih abadi seseorang itu harus sedia mengorbankan kepentingan-kepentingan kebendaan yang bersifat sementara.

Di zaman awal Islam, orang-orang Islam Makkah mungkin tidak mengalami kerugian kebendaan yang berat jika tidak berhijrah ke Madinah. Namun, mereka mungkin pula tidak dapat meraih erti kemenangan yang abadi dan sempurna. Dengan membuat pengorbanan meninggalkan keselesaan hidup di Makkah, mereka berjaya membenamkan rasa taksub kepada puak, keturunandan tanahair; serta membenamkan sifat rakus kepada kemewahan kebendaan. Sebagai ganjaran, mereka menghayati sifat persaudaraan yang tulen, berdasarkan iman dan taqwa. Hasilnya, berlaku pembinaan sebuah masyarakat yang kental ukhuwahnya, dan menikmati kehidupan yang tegak di atas keadilan dan kebenaran. Inilah kemenangan sebenar.

Mereka yang sedang mengerjakan ibadah haji juga sedang menjalani satu latihan praktikal berjihad dan mengorbankan keselesaan kebendaan kerana mahu mendidik jiwa agar tunduk kepada keagungan Allah. Kita yang sedang berhimpun bagi melaksanakan solat Aidiladha ini juga sebenarnya sedang menjalani latihan yang sama.

Kejayaan sebenar tercapai dalam bentuk iman yang bertambah teguh dan ketahanan jiwa yang lebih kukuh sebagai insan.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Masyarakat Islam di mana-mana pun, termasuk kita, perlu terus meningkatkan usaha memperbaiki mutu kehidupan dan kesejahteraan bersama.

Dalam meneruskan usaha mulia itu, wajarlah kita mengambil iktibar daripada semua pengertian ini supaya kejayaan yang hendak dicapai bersama itu benar-benar bermakna dan menjamin kesejahteraan yang abadi sifatnya.

Apakah di antara iktibar-iktibar yang boleh dimanfaatkan?

Pertama, hendaklah kita terus bekerja atas dasar melaksanakan hukum-hukum Allah. Berbuatlah apa sahaja demi mendapat redaNya. Janganlah keghairahan untuk mencapai kejayaan membuat kita kehilangan punca dan arah. Memang kekuatan boleh diperoleh dengan mengumpul sokongan pengikut, wang dan kemahiran. Namun, tanpa kecintaan kepada Allah, tanpa mentauhidkanNya, jiwa manusia akan kosong; dan lambat-laun akan kehilangan tenaga. Jiwa tanpa iman akan mudah terjebak untuk bertuhankan tuhan-tuhan palsu yang akhirnya akan merosakkan tujuan untuk membawa kebaikan kepada manusia.

Kedua, kita harus terus memperkuat barisan dengan memperkuat ukhuwah atas dasar taqwa. Usaha meningkatkan kesejahteraan umat merupakan usaha besar yang menjejas kepentingan masyarakat seluruhnya. Oleh itu, elakkanlah diri daripada menyediakan jalan-jalan yang dapat membawa kepada perpecahan. Persaudaraan berdasar taqwa dapat mengelakkan kecenderungan mendabek dada dan mengukur kejayaan berdasarkan banyak dan hebatnya publisiti. Dengan taqwa, keikhlasan bekerja boleh dicapai. Dan ini berguna bagi mengelakkan merebaknya budaya mengampu yang merosakkan.

Ketiga, nyalakanlah semangat berjuang dengan menanamkan kesediaan berjihad dan berkorban. Kesediaan berkorban mesti juga berasaskan taqwa dan kecintaan penuh kepada Allah. Ini mengelakkan timbulnya amalan berkorban semata-mata untuk meraih keuntungan lahiriah jangka pendek. Pengorbanan begini tidak akan dapat menyelesaikan banyak masalah yang memerlukan penghuraian-penghuraian asas dan rumit.

Soal memajukan pendidikan, membangunkan ekonomi, membanteras kerosakan moral dan sosial, merupakan soal-soal kehidupan. Soal dasarnya ialah mengajak manusia supaya sedar siapakah dirinya, dan apakah tujuan ia dihidupkan. Jika manusia tidak disedarkan dengan hal ini, dan mereka tidak dibimbing memaham jawapan-jawapan sebenarnya, penghuraian kepada masalah-masalah yang mereka hadapi akan hanya bersifat serpihan, tidak mutlak.

Manusia mesti disedarkan tentang diri dan peranannya yang sebenar. Langkah-langkah mesti diambil bagi menyedarkan mereka tentang peri pentingnya sifat-sifat kemanusiaan dibangunkan dalam diri masing-masing. Kecuali langkah dan usaha ini dapat diurus dan dilaksanakan, tindakan-tindakan lain tidak mungkin menghasilkan natijah dan kejayaan yang dicita-citakan.

Marilah kita panjangkan segala pengertian, pengajaran dan amalan baik ini melepasi hari-hari ibadah haji dan sambutan Aidiladha. Kita teruskan pengertian-pengertian suci ini dalam tindakan dan amalan harian kita.

Mudah-mudahan dengan menghayati pengertian-pengertian tersebut terus-menerus, keinsafan kita akan bertambah dalam mencari jalan-jalan yang benar bagi membina kekuatan-kekuatan yang diperlukan dalam usaha meraih kejayaan dan kesejahteraan hidup yang direda dan dirahmati Allah.

Allahu Akbar (3X) Walillah-ilhamd.

Baarakallah...........



Monday, October 25, 2010

Produk Sulung FME



Nantikan produk sulung Fine Music Entertainment, album pengenalan FINE-Motivation for All, yang menampilkan lagu Hit "Kau Teman" featuring Halim (Devotees), turut menampilkan lagu-lagu seperti "Disini", "Melakar Cita", "Ku Harap Cinta Mu" dan "Sayang Ibu" featuring Zul and The Messages....juga turut dimuatkan Instrumental Kau Teman....dapatkan di pasaran November ini, pastikan yang original baru beli, selamat industri nasyid tanah air....

Thursday, August 5, 2010

Salam Ramadhan Al-Mubarak dari Seluruh Warga Kerja FME Team Works

RAMADHAN PENGHULU SEGALA BULAN


Alhamdulillah sekali lagi tahun ini kita diberikan kesempatan untuk berpuasa sekali lagi dalam bulan yang mulia ini. Bulan Ramadhan atau disebut bulan puasa memang dinanti-nantikan kedatangannya kerana ia dikatakan 'penghulu segala bulan'. Dalam bulan inilah semua orang Islam diwajibkan berpuasa, suatu amalan yang amat tinggi nilainya di sisi Allah swt.

Kenapa Ramadhan dipanggil 'penghulu segala bulan'? Ini adalah kerana dalam bulan ini Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad saw. Di samping itu dalam bulan Ramadhan ada satu malam yang digelar 'Lailatul-Qadr'. Malam ini mempunyai kelebihan yang menyamai amalan 1000 bulan (83 tahun) malahan lebih lagi. Ini bermakna hanya beramal satu ibadat diberikan pahala seolah-olah mengerjakan ibadat itu selama 83 tahun.

Nabi Muhammad ada menjelaskan "Permulaan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya pengampunan manakala akhir Ramadhan merupakan pelepasan dari seksa neraka." Betapa besar rahmat Allah diberikan kepada umat Nabi Muhammad saw. Meskipun berusia pendek namun ganjaran pahala yang diberikan seolah-olah menjadikan usia kita lebih panjang.

Rejab, Sy'aban dan Ramadhan adalah gandingan bulan yang mulia. Rejab dikatakan bulan milik Allah, Sya'ban milik Nabi Muhammad dan Ramadhan bulan bagi umat Muhammad. Ini bermakna bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang ini adalah bulan paling istimewa bagi kita umat Nabi Muhammad. Oleh sebab itu gembira menyambut ketibaan Ramadhan sahaja (belum berpuasa lagi) Allah mengharamkan kita dari api neraka. Malang bagi sebahagian daripada kita terlalu gembira menyambut kedatangan awal tahun 1998 sehingga bersekang mata menunggu beramai-ramai ketibaan 1 Januari - 12.00 tengahmalam dengan sukaria tetapi dengan Ramadhan tidak pula disambut begitu rupa. Neraca apakah penilaian yang kita gunakan?

Sepanjang Ramadhan kita berpuasa, menahan anggota dari melakukan perkara yang membatal atau mencederakan puasa. Setiap saat dipermudahkan untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Pendek kata kita boleh mendapat pahala sepanjang masa dalam Ramadhan. Ini tidak dapat dilakukan pada bulan-bulan lain dan dalam ibadat-ibadat lain.

Begitu hebatnya tawaran dan anugerah Allah sehinggakan Malaikat Jibril menerangkan kepada Baginda saw bahawa orang yang tidak memperolehi pengampunan dalam bulan ini adalah orang yang betul-betul celaka dan malang. Mudah-mudahan kita semua tidak termasuk di dalam golongan yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan Ramadhan ini.

Jibril mengatakan demikian lantaran amat mudah sekali mendapatkan keampunan Allah dalam bulan ini. Hal ini tidak berlaku dalam bulan-bulan lain. Mereka yang terlalu engkar dan melawan Allah sahaja yang terkecuali dari mendapat keampunan. Pintu kerahmatan ditutup baginya.

Sama-samalah kita memohon keampunan ke hadrat Allah swt sempena Ramadhan tahun ini semoga kita memperolehi keselamatan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Amin. Kita belum pasti akan bertemu dengan Ramadhan tahun depan. Oleh itu, beribadatlah sebanyak mungkin dengan melakukan segala ketaatan seperti membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya di samping mengelakkan diri dari melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.

Ya Allah, terimalah amalan kami yang kerdil dan bergelumang dengan dosa ini. Ampunilah kami sebagaimana Engkau mengampunkan umat terdahulu. Sesungguhnya kami sangat bergembira dengan kedatangan Ramadhan ini. Kami sedar sabda rasulmu bahawa mereka yang gembira menyambut Ramadhan, Engkau haramkan dari api neraka. Oleh itu kami memohon sepenuh hati semoga kami juga Engkau jauhkan dari azab neraka. Amin.

Tuesday, July 20, 2010

HARI RAYA COOKIES 2010


Untuk pengetahuan semua, Fine Music Entertainment (FME) yang merupakan sebuah syarikat terbitan dan edaran juga syarikat yang menguruskan artis nasyid indie seperti FINE & uniVoice, kali ini FME bukan hanya mengedarkan album tetapi turut bekerjasama dengan Ihsanic Management and Ihsanic Resouces (IMIR) untuk mengedarkan kuih-kuih raya terbitan syarikat tersebut sempena hari lebaran yang akan tiba tidak lama lagi. Menurut Pengarah Urusan FME " dengan kerjasama yang terjalin ini bukan hanya dapat menjalinkan persahabat di dalam perniagaan di antara FME dengan IMIR, malahan dapat memperkenalkan FME dan juga artis yang bernaung di bawah FME, di samping dapat memperkenal jenama LOVELY BITES kepada masyarakat umum di dalam pengeluaran kuih-kuih raya pada masa akan datang"...

Bagi yang berminat untuk membuat tempahan sila hubungi Mohd Naim Bin Abdullah di talian 013-4027526 @ emailkan tempahan ke naeimfme@gmail.com
untuk pasaran PERLIS, KEDAH & PENANG.

Bagi yang tinggal di sekitar KUALA LUMPUR dan SELANGOR boleh hubungi Nur Fikriyah di talian 017-8705528 @ emailkan tempahan ke nurfikriyah@gmail.com

Bagi yang berminat boleh bagi nama penuh, lokasi anda, nombor tel, jenis tempahan & kuantiti tempahan. Setiap tempahan mesti bayar separuh dahulu, lagi separuh bayaran setelah dapat tempahan anda...
SIAPA CEPAT DIA DAPAT....TEMPAHLAH LEBIH AWAL SEMENTARA KOUTA BELUM PENUH....
DISKAUN AKAN DIBERIKAN KEPADA 100 ORDER TERAWAL SAHAJA....JADI ORDERLAH SEGERA...KALAU NAK DAPAT DISKAUN....


BISKUT LOVELY BITES
RM 21.00 / 50 Biji

HAZEL CHOCOLATE (Paling Laris)
RM 21.00 / 50 Biji
Sungguh menyelerakan...Adunan mesra HAZEL dan CHOCOLATE, digandingkan dengan CHOCOLATE FILLING di dalam. Rasa yang amat hebat. Juadah istimewa untuk tetamu di HARI RAYA.... TANGGA PERTAMA TAU!!! RUGI KALAU TAK BELI....

HAZEL NUT (Paling Laris)
RM 21.00 / 50 Biji
Sungguh-sungguh sedap tak terkata!!! adunan mesra HAZEL dan NUT, digandingkan dengan PEANUT BUTTER FILLING di dalam. Rasa yang amat menakjubkan!!!Fuhhh...rasa sebiji pasti nak lagi!!!Tak percaya???Kena beli dan makanlah dulu...baru tau nanti...!!! SEBARIS DENGAN HAZEL CHOCOLATE...MEMANG RUGI TAK BELI...

BISKUT MARBLE (Paling Laris)
RM 20.00 / 42 Biji
Lapisan atas yang mewah dengan coklat yang hebat (tebal dengan coklat tuuuuu) lapisan bawah pula rangup hasil adunan tepung dan ramuan-ramuan berkhasiat.... SEDAP....BANYAK COKLAT PULA TUUU

BISKUT GAJUS
RM 20.00 / 50 Biji

BISKUT KACANG MAZOLA
RM 18.00 / 60 Biji
Kegemaran penggemar kacang....hehehe

PINKY ROSE (Paling Laris)
RM 22.00 / 45 Biji
Coklat, cornflakes, badam hancur...nyum...nyum....sekali gigit, secara tiba-tiba akan terasa berada di alam yang penuh romantis....so sweet!!!..:-)

BISKUT ARAB
RM 18.00 / 50 Biji
Lembut dan halus....cair di dalam mulut sebab terlampau gebu...
Biskut Arab ini amat digalakkan dimakan oleh sesiapa yang tiada gigi termasuk kanak-kanak yang tidak cukup gigi.....hehehe

BISKUT DAM
RM 18.00 / 50 Biji
Biskut yang menggamit kenangan lama.....hehehehe

TART GULUNG NENAS (Paling Laris)
RM 20.00 / 50 Biji
Sedap dan gebu!!!

ALMOND LONDON
RM 21.00 / 50 Biji

ALMOND LONDON STRAWBERRY
RM 21.00 / 50 Biji

BISKUT CHUNKY PEANUT
RM 20.00 / 50 Biji

BISKUT MAMA CARRIES STRAWBERRIES
RM 20.00 / 50 Biji

BISKUT OAT RAISIN
RM 20.00 / 50 Biji

BISKUT PRUNE POTATO
RM 20.00 / 50 Biji

BISKUT STRAWBERI
RM 20.00 / 50 Biji

BISKUT TEMBIKAI
RM 20.00 / 50 Biji